ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Category 1

Wednesday, July 28, 2010

Guna anak halau hantu - DUNIA Sekarang

Oleh ADAM SALLEH dan NAZARALI SAERIL
metahad@hmetro.com.my
2010/03/28

Guna anak halau hantu

KUALA LUMPUR: Sudahlah rumah tangganya porak peranda dan dia terpisah dengan anak perempuannya yang baru berusia dua tahun, lebih menyedihkan dia dimaklumkan anak tunggalnya itu kini direkrut atau dilatih sebagai penghalau hantu.
Lokman berkata, selepas berkahwin pada 2007 dia mendapati isteri dan keluarga mentuanya amat rapat dengan ‘Wanita Suci’ itu dan khidmatnya digunakan untuk mengubati seorang anggota keluarga yang sakit.

“Ketika itulah saya mula mengenalinya. Pada pandangan saya, dia dan seorang lelaki dari Timur Tengah yang dipanggil Tok Sheikh bagaikan pemimpin ajaran sesat. Namun, pengikut mereka tidak ramai, hanya terhad kepada beberapa keluarga, termasuk keluarga mentua saya.

“Tok Sheikh yang memberi gelaran kepada wanita itu sebagai ‘Wanita Suci’ dan semua pengikutnya juga memanggilnya dengan dengan gelaran itu,” kata Lokman dalam pertemuan dengan Metro Ahad, di sini, baru-baru ini.

Mengimbau detik bermula petaka dalam perkahwinannya, Lokman berkata ia berlaku selepas dia enggan mengikuti permintaan isteri serta mentuanya supaya percaya pada segala yang dikatakan oleh ‘Wanita Suci’ dan Tok Sheikh.
“Mereka kata Tok Sheikh mampu meramal masa depan dan ‘Wanita Suci’ pula ada kelebihan menghalau hantu. Bagaimanapun, saya enggan menuruti kehendak mereka dan tidak percaya langsung dengan perkara khurafat seperti itu,” katanya.

Lokman berkata, disebabkan enggan memberi kerjasama, ‘Wanita Suci’ serta Tok Sheikh mempengaruhi isteri serta keluarga mentua untuk menghalaunya daripada kehidupan mereka. Pada hujung 2008, beberapa bulan selepas dianugerahkan anak perempuan, Lokman mengambil keputusan menceraikan isteri kerana tidak tahan lagi dengan kepercayaan khurafat mereka.

Sejak itu, Lokman dihujani lebih 1,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) cacian dan maki hamun daripada bekas isterinya. “Antara perkara buruk berlaku terhadap saya selepas berpisah ialah dibelasah dua lelaki di depan bekas isteri serta seorang lelaki didakwa teman barunya hanya kerana saya mahu menyerahkan surat mahkamah kepada ‘Wanita Suci’ terbabit yang tinggal dengan mereka.

“Saya berjaya melarikan diri sebelum membuat laporan polis. Saya turut diberikan hak penjagaan anak oleh mahkamah tetapi hingga kini gagal menuntutnya kerana dilarikan bekas isteri serta ‘Wanita Suci’ itu,” katanya.

Dalam masa sama, ‘Wanita Suci’ itu serta bekas isterinya juga pernah melarikan anak Lokman ke Timur Tengah untuk bersama-sama dengan Tok Sheikh dan mereka gagal dikesan hingga kini.
Dalam usaha menjejak anak kesayangannya, Lokman berkata dia secara kebetulan berjumpa dengan seorang perempuan yang mendakwa dirinya juga menjadi mangsa kegiatan ‘Wanita Suci’ dan Tok Sheikh.

Lokman berkata, perempuan itu memberitahu dia dan suaminya juga bercerai angkara ‘Wanita Suci’ dan lebih menyedihkan ‘Wanita Suci’ turut merampas suaminya. “Perempuan itu turut memaklumkan berita mengejutkan mengenai anak saya. Katanya, anak saya digunakan oleh ‘Wanita Suci’ untuk mengesan dan menghalau hantu di rumahnya.

“Kata perempuan itu, anak saya dibawa oleh ‘Wanita Suci’ ke rumahnya dan dia melihat anak saya merangkak seperti kucing mengelilingi rumah sebelum menuding jari ke beberapa bahagian rumah sambil menyebut hantu. “Apabila selesai, ‘Wanita Suci’ mula menjalankan upacara menghalau hantu sebelum keluar dari sana dan mengatakan kediaman itu sudah bebas daripada hantu yang berkeliaran,” katanya. Lokman bagaimanapun tidak tahu bagaimana anaknya direkrut hingga mampu melakukan tugasan tidak masuk akal itu.

Menurut eksekutif sebuah syarikat swasta di Sabah itu, dia sudah melakukan pelbagai cara untuk berhubung dengan anak kesayangannya tetapi gagal. “Bagaimanapun, menjelang Aidilfitri tahun lalu, bekas mentua menghubungi saya untuk bertemu serta menunjukkan gambar terbaru anak yang dihantar bekas isteri. “Bekas mentua turut berpesan supaya saya memujuk kembali bekas isteri supaya kembali ke pangkal jalan serta mendapatkan anak dan jika masih berpeluang, bersatu kembali sebagai suami isteri,” katanya yang memberitahu sudah membuat tujuh laporan polis di Sabah mengenai salah laku ‘Wanita Suci’ dan kehilangan anaknya.

No comments:

Dummy Text